26 JUN : Undang-undang berkaitan kebankrapan akan dikaji semula bagi membantu golongan yang dibelenggu masalah itu, terutama membabitkan golongan muda, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Ismail Sabri, beliau akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berhubung perkara itu.
“Kerajaan pernah menaikkan nilai ambang kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan menangguhkan tindakan undang-undang pada 2020 berikutan pandemik COVID-19, namun nilai itu kemudian diturunkan semula.
“Saya juga prihatin dengan perkara ini yang dilihat membimbangkan. Saya akan bincang dengan menteri undang-undang untuk lihat semula akta dan berjumpa dengan Gabenor BNM untuk melihat dari segi tindakan undang-undang supaya kita tangguhkan lagi dan sebagainya. Percayalah, masa depan anak muda tetap menjadi agenda utama kerajaan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya Belia Barisan Nasional (BN) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan Karnival Kerjaya Belia BN 2022 adalah kesinambungan usaha murni dalam membantu Keluarga Malaysia, khususnya golongan muda di kawasan sekitar untuk mendapatkan kerja.
“Saya berharap usaha pihak kerajaan ini akan mendapat sokongan Pemuda BN dan menguar-uarkan usaha ini serta membantu menangkis kritikan daripada pembangkang yang terus memfitnah mengatakan kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya.
Karnival Kerjaya Belia BN 2022 diadakan selama tiga hari, bermula Jumaat lalu dan menawarkan lebih 20,000 kekosongan jawatan daripada lebih 200 majikan yang mengambil bahagian.
Karnival berkenaan menerima lebih 18,000 permohonan pekerjaan, dengan lebih 6,000 orang diterima bekerja.