27 JUN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menggesa semua agensi di bawah jabatan itu mengikis karenah birokrasi terutama dalam proses menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Menurutnya ketika berucap dalam majlis perhimpunan agensi hal ehwal agama dan penyampaian amanat menteri hari ini, semua jenis bantuan mesti diserahkan dalam kadar segera dan dipastikan terus sampai kepada kumpulan sasaran.
“Saya tidak mahu agensi kita terlalu banyak birokrasi dengan prosedur yang menyulitkan. Mesti buang budaya lama, budaya red tape, kita mahu segerakan pelaksanaan, terus sampai kepada sasaran,” tegasnya.
Proses memberikan bantuan katahya lagi, perlu mengikut prosedur ditetapkan, sebagai contoh program bantuan oleh agensi seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
“Semuanya saya arahkan mesti dipercepat. Jangan sampai orang menunggu kerana terlalu banyak red tape hingga sukarkan rakyat khususnya dalam kalangan B40,” katanya.
Pada majlis sama, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi menyampaikan sijil akreditasi MS ISO 17025:2017 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang mewakili Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC), Bahagian Pengurusan Halal JAKIM.
Sementara itu, Idris berkata, beliau yakin akreditasi diperoleh dalam bidang ujian analisis kimia bagi skop alkohol itu akan melonjakkan lagi nama Malaysia dan JAKIM selaku badan pensijilan halal yang unggul di dunia.
Beliau turut melancarkan laman sesawang rasmi Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan jubah khas baharu ketua pendakwa serta pendakwa syarie.