27 JUN : Kerajaan hari ini mengumumkan tambahan RM100 juta bagi pembiayaan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut mengumumkan tambahan sebanyak RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp).
Kata Ismail Sabri, beliau dimaklumkan bahawa SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan sudah habis. Oleh itu, bagi kepentingan usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.
“Bagi BEEP di bawah SME Corp pula, peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2022 ini juga habis. Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, di sini hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar.
Pembangunan keusahawanan menurut Ismail Sabri adalah antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.
“Negara akan lebih maju ke hadapan sekiranya memiliki ekosistem keusahawanan yang komprehensif dan meliputi pelbagai peringkat.
“Sektor perniagaan terutamanya melalui Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Kejayaan pemulihan sektor PMKS sudah pasti akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.
“Prospek pemulihan ekonomi negara dijangka akan terus berkembang kesan daripada pembukaan sempadan antarabangsa yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi dalam negara,” ujarnya lagi.
Kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Februari lalu menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi kerajaan membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, jelasnya lagi.
“Prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik denganpeningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh. Selain itu, terdapat juga impak yang positif terhadap permintaan guna tenaga negara.
“Sebagai tulang belakang ekonomi negara, pada tahun 2020 PMKS menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara.
“Oleh demikian, amatlah penting supaya kerajaan untuk terus memastikan sektor perniagaan membabitkan usahawan tempatan kekal berdaya tahan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menetapkan fokus utama bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi terutamanya dengan mempercepatkan transformasi PMKS.
“Ini bagi memastikan sektor PMKS dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK negara dan 25 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata, di bawah Bajet 2022 pula, pelbagai inisiatif dirangka untuk membantu PMKS menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terbabit.
“Melalui Bajet 2022, saya berharap pembiayaan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion dapat dimanfaat sepenuhnya oleh usahawan PMKS yang layak dan memerlukan,” katanya.
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut berkata, penganjuran anugerah kepada usahawan pastinya dapat mendorong dan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan, berkembang maju dalam bidang dan sektor perniagaan, sekali gus berupaya mewujudkan ekosistem perniagaan yang kukuh serta membangunkan usahawan tempatan yang berdaya saing, kalis cabaran masa hadapan serta mampu berdiri teguh di peringkat global dan antarabangsa,” katanya.