27 JUN: Undang-undang kebankrapan perlu dikaji semula agar mampu membantu dan mendatangkan kebaikan kepada Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sekembalinya dari tugasan di London, Jumaat ini, beliau akan segera berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Soal kebankrapan ini bukan perkara kecil kepada individu di peringkat bawahan, ia adalah hidup mereka, kerana jika diisytiharkan muflis di Malaysia, ia adalah lebih teruk daripada dijatuhi hukuman mati.
“Jadi, sangat dan amat perlu undang-undang berkaitan kebankrapan dikaji semula untuk membantu golongan yang dibelenggu masalah itu terutama membabitkan golongan muda,” dipetik daripada BH, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengatakan beliau akan berbincang dengan Wan Junaidi serta Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berhubung hasrat kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan.
Wan Junaidi berkata, beliau biarpun terdapat halangan daripada pihak tertentu, beliau berpendapat, dalam keadaan sekarang, undang-undang kebankrapan perlu diubah dan jika tidak, ramai lagi akan diisytiharkan muflis.
“Justeru, semua pihak daripada agensi insolvensi dan BNM sendiri mesti mengadaptasi perubahan untuk membantu rakyat Malaysia.
“Dalam keadaan amat genting sekarang, dengan kira-kira 250,000 orang di ambang muflis, memang perlu ada perubahan undang-undang. Malah, sejak saya menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dahulupun, saya sudah mencadangkan undang-undang itu dikaji semula,” katanya.