28 JUN: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh setelah pusat beli-belah terkena bedilan peluru berpandu didakwa milik Russia di Kremenchuk, sebuah bandar di tengah Ukraine semalam.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kenyataan semalam menyifatkan serangan Russia itu sebagai satu tindakan pengganas paling biadap dalam sejarah Eropah.
Perkara itu dimaklumkan gabenor wilayah dan kejadian itu mencetuskan kemarahan antarabangsa.
Menurut Gabenor wilayah Poltava, iaitu di mana terletaknya Kremenchuk, Dmytro Lunin, angka kematian meningkat daripada 10 sehingga sekurang-kurangnya 13 orang dan lebih 40 orang tercedera.
Terdahulu, Zelensky berkata, lebih 1,000 orang awam berada di pusat beli-belah itu ketika peluru berpandu mengenainya. Sebelum ini, bandar terbabit dihuni seramai 220,000 orang.
“Pusat beli-belah itu terbakar, penyelamat bertungkus-lumus memadamkan api. Angka mangsa mustahil untuk dibayangkan,” kata Zelensky menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook.
Video yang dikongsikan oleh Presiden Ukraine menunjukkan pusat beli-belah itu diselubungi nyalaan api dengan puluhan penyelamat serta trak bomba bekerja keras menyelamatkan mangsa.
Perkhidmatan kecemasan turut menyiarkan imej menunjukkan kesan bara yang terdapat dalam bangunan terbabit dan pasukan bomba serta penyelamat cuba untuk membersihkan serpihan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Ukraine berkata, serangan itu sengaja dilakukan bertepatan dengan waktu paling sibuk di pusat beli-belah itu termasuk menyebabkan angka mangsa yang maksimum.
Tentera udara Ukraine berkata, pusat beli-belah itu diserang dengan peluru berpandu antikapal Kh-22 yang dilancarkan pengebom Tu-22, dari wilayah Kursk di barat Russia.
“Tembakan peluru berpandu di Kremenchuk mengenai kawasan yang sangat sibuk dan tidak mempunyai kaitan dengan permusuhan,” kata Datuk Bandar, Vitali Maletsky menerusi Facebooknya. – AFP