28 JUN : Seramai 49 banduan maut dalam rusuhan yang berlaku di sebuah penjara di Tulua, bandar di barat daya Colombia awal pagi tadi.
Ketua agensi penjara kebangsaan, INPEC, Jeneral Tito Castellanos, berkata rusuhan itu amat tragik dan satu bencana besar di penjara yang menempatkan 1,267 banduan ini.
“Setakat ini kita masih belum mengetahui apa yang mencetuskan rusuhan ini,” kata ketua INPEC itu kepada stesen radio tempatan, Caracol Radio.
Presiden Colombia, Ivan Duque, yang kini melawat Portugal, berkata menerusi ciapan Twitter, tragedi itu akan disiasat.
“Kami menyesali rusuhan yang berlaku di penjara di Tulua, Valle del Cauca. Saya sudah berhubung dengan Jeneral Tito Castellanos dan mengarahkan siasatan menyeluruh bagi merungkai punca tragedi buruk ini,” katanya.
Negara Andes itu membebaskan sejumlah banduan ketika pandemik COVID-19, selepas kira-kira 24 banduan terbunuh ketika protes pada 2020, membantah keadaan penjara yang sesak dan kekurangan kemudahan asas.
Ratusan terbunuh di penjara negara jiran, Ecuador, sepanjang tahun lalu, yang menurut kerajaan, berlaku akibat keganasan dikaitkan dengan saingan sindiket dadah yang gagal dikawal pihak berkuasa.