28 JUN : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan isu dalaman UMNO akan diselesaikan secara dalaman dan kekeluargaan parti seperti yang diamalkan sebelum ini.
Menurut beliau, krisis yang berlaku di antara bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dengan Presiden UMNO juga akan diselesaikan secara dalaman.
“UMNO adalah sebuah keluarga, setiap masalah kita akan selesaikan atas semangat kekeluargaan. Atas semangat kekeluargaan, setiap isu dan permasalahan akan diselesaikan sebagai sebuah keluarga.” katanya selepas hadir dalam Majlis Ulang Tahun ke-55 Pelaburan Mara Bhd di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mengakui wujudnya akuan bersumpah oleh Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Beliau juga meminta supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.
Tajuddin sebelum ini digugurkan daripada MKT UMNO berikutan tindakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu yang dikatakan mengkritik parti.