28 JUN: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.
Mohamaddin yang juga ADUN Segama menjadi wakil rakyat Bebas yang mesra Kerajaan Persekutuan serta negeri.
Beliau berkata, tindakan keluar BERSATU berkenaan dibuat susulan tidak diberi sebarang peranan untuk memperkukuhkan parti itu seperti yang dijanjikan.
“Saya telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri Segama, namun setelah lebih enam bulan, tiada sebarang peranan yang diberikan,” katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu.
Bekas Menteri Pelancongan itu meninggalkan Warisan pada Oktober 2021, sebelum menyertai BERSATU pada 26 Nov lalu.
Beliau adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Silam (2018 – 2019) sebelum kerusi itu dinamakan semula sebagai Lahad Datu.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mohamaddin yang bernaung bersama Pakatan Harapan berjaya merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional.