29 JUN : Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasikhususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.
“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.
“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Perdana Menteri lagi, langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha NegaraTan Sri Mohd. Zuki Ali,
Pegawai khusus di setiap kementerian menurut Ismail Sabri akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” katanya.