Islam adalah satu kekuatan tetapi amat malang umat Islam sendiri menjadikan fahaman mereka oleh kerana perbezaan mazhab mahupun ikutan sebagai alasan untuk bermusuhan dan saling membunuh.
Benar, orang Islam itu adalah bersaudara, tetapi apa yang sedang berlaku adalah saudara berkelahi dan berperang sesama sendiri.
Kalau kita perhatikan, di negara kita, orang islam lebih banyak berpecah kerana fahaman politik. Demi parti yang dianggotai, mereka sanggup bertelagah sesama sendiri untuk memperjuangkan kehebatan parti masing-masing kononnya.
Akibatnya, orang lain yang mengaut untung melalui gerakan politik mereka yang lebih bijaksana. Mana lagi penting, perpaduan semata-mata atau penerusan kemusnahan negara secara keseluruhan kerana sistem politik yang rakus, haprak dan rasuah?
Punca perpecahan ketara umat kita pada masa ini, pada pendapat saya, disumbangkan secara besarnya melalui perbezaan “ikutan” ideologi fahaman politik di negara ini, ditambah pula dengan hasutan senyap pihak berkepentingan.
Memang saya katakan “ikutan” kerana tidak semua ahli parti politik tahu asas pembentukan yang menjadi tunjang utama penubuhan sesebuah parti.
Ia secara langsungnya sehingga mencetuskan keberanian pihak-pihak tertentu, malah kaum-kaum minoriti negara lantang bersuara, termasuk mempertikaikan asas-asas pembentukan Tanah Melayu yang dizahirkan melalui perlembagaan negara.
Musibah ini belum sampai ke bumi kita tetapi tiada jaminan yang ia tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu, yakni umat Islam terbesar, terus bermusuhan, bermula dengan perbezaan ideologi politik.
Islam melarang umatnya berpecah-pecah. Jadi mengapa perlunya mereka terus bercakaran dan bermusuh-musuhan?
Sepatutnya pemimpin parti-parti politik Melayu Islam mengambil langkah ke belakang sejenak dan merenung kembali apa yang telah mereka lakukan dan bertanya samada ia baik atau tidak untuk orang Melayu/Islam dan Negara.
Pemimpin-pemimpin ini perlu menyoal diri mereka samada apa yang mereka fikir dan lakukan sebelum ini menyumbang kepada perpaduan ummah serta keharmonian dan kestabilan masa depan negara. Masalah Melayu Islam adalah masalah Negara. Jika Melayu Islam tidak bersatu dan tidak stabil, maka kestabilan negara akan terjejas. Adakah itu yang mereka mahu?
Jarum musuh-musuh Islam sentiasa bersedia untuk mencucuk bangsa yang lemah dan tidak berkemampuan.
Hak mewakili orang Melayu mahupun umat Islam bukan hak ekslusif mana-mana parti tetapi hak setiap parti yang dipimpin harus dianggotai oleh orang Melayu dan umat Islam.
Sebagai Muslim kita dididik untuk menjalin persahabatan dengan sesiapa sahaja yang tidak bermusuh atau mengancam keselamatan kita tanpa mengira bangsa dan anutan agama.
Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Itulah amalan hidup kita. Kita tidak membalas manisan dengan tuba atau madu dengan racun.
Mahathir Hj Mohd Rais
KETUA BERSATU BAHAGIAN SEGAMBUT