29 JUN: Penggabungan Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd. mendapat ‘lampu hijau’ daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang sudah mengeluarkan notis tiada bantahan terhadap cadangan tersebut.
Penggabungan membabitkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Celcom itu akan menjadikan mereka sebagai pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di Malaysia.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, MCMC sudah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini.
“Pada 1 April 2022, MCMC telah mengeluarkan Pernyataan Isu kepada Pemohon selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara dalam sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti oleh MCMC.
“Justeru, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC di dalam Pernyataan Isu.
“MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini,” kata kenyataan itu.
Pada April lalu, syarikat induk Celcom Axiata iaitu Axiata Group Bhd berkata cadangan penggabungan bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata penyempurnaan transaksi itu akan tertakluk kepada kelulusan kedua-dua syarikat dan pemegang saham Digi, kelulusan kawal selia dan terma serta syarat lain.
Axiata dan Telenor Group pada 8 April 2021 mengumumkan, bahawa mereka sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.
Pada 24 November 2021, Axiata turut mengumumkan bahawa MergeCo telah memulakan libat urus dengan MCMC untuk proses penilaian penggabungan berhubung dengan cadangan penggabungan.