29 JUN : Polis sedang mengesan 20 lelaki terbabit dalam pergaduhan dan merosakkan kenderaan awam di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, pada awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pergaduhan melibatkan dua kumpulan itu telah menyebabkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berkenaan rosak akibat terkena batang besi dan botol arak yang digunakan dalam pergaduhan itu.
“Pihak kami menerima laporan dari seorang mangsa yang keretanya mengalami kerosakkan di bahagian cermin belakang dan cermin penumpang belakang sebelah kanan.
“Mangsa dan rakan sedang makan di sebuah restoran di lokasi kejadian pergaduhan itu dan polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Terdahulu tular satu video di laman sosial berdurasi 43 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa buah kereta menggunakan botol arak dan batang besi di kawasan tersebut.- BERNAMA