30 JUN: Enam syarikat telekomunikasi (telco) akan mengambil kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan pengumuman rasmi mengenai pemilikan kepentingan itu akan dibuat pada minggu depan.
“Rundingan berjalan dengan baik dan mencapai kesepakatan.
“Semua akan selesai minggu depan, 8 Julai,” katanya ketika ditemui pada majlis perjanjian kerjasama program Country Digital Acceleration (CDA) antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Cisco International Limited (Cisco) di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai keputusan pemilikan kepentingan syarikat telekomunikasi dalam DNB.
Pada Mac lalu, kerajaan membuka 70 peratus peluang kepada semua penyedia perkhidmatan komunikasi untuk memiliki kepentingan ekuiti di dalam DNB.