30 JUN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, hari ini, mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah bot yang membawa 10 pemancing dan tiga kru termasuk tekong yang dikhuatiri hilang di perairan Besut.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata bot pendaftaran KNF 7040 itu keluar dari Jeti Pengkalan Kubu di Kuala Besut pada jam 10 pagi, Sabtu lalu (25 Jun).
“Bot berkenaan sepatutnya pulang semalam tetapi hingga kini masih tidak pulang dan gagal dihubungi.
“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan SAR pada jam 11.45 pagi tadi bagi mengesan bot bereknaan.
“Kapal Maritim Redang digerakkan ke kawasan dipercayai bot ini selalu memancing di sekitar pelantar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan bot itu tiada peralatan seperti radio atau satelit komunikasi, katanya.Beliau berkata, MRSC Kuantan juga telah berhubung dengan Pusat Komunikasi Petronas dan Exxon Mobil bagi hebahan mengenai bot berkenaan.
“Maritim Malaysia meminta kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dapat menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu melalui talian 09-6224357,” katanya.– BERNAMA