30 JUN : Polis menasihatkan orang ramai tidak menyertai Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang dijadualkan berlangsung di Kampung Baru esok.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya ada menerima maklumat mengenai perhimpunan itu akan diadakan selepas solat Jumaat, namun tiada sebarang notis pemberitahuan diterima daripada penganjur.
“Polis ada menerima maklumat, bagaimanapun tiada sebarang pemberitahuan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman diterima dari mana-mana pihak setakat ini.
“Sehubungan itu, polis menasihati mana-mana pihak atau orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan itu dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota polis di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan.
Sebelum ini, Amanah dilaporkan merancang perhimpunan di ibu negara pada 1 Julai ini bagi mendesak diperuntukkan semula subsidi makanan asas rakyat seperti ayam, telur dan minyak masak.
Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan dilaporkan berkata, perhimpunan itu akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru, jika masalah kenaikan harga barang yang berlarutan sejak tiga bulan lalu gagal ditangani kerajaan.