1 JULAI: Penetapan harga siling ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram dianggap memadai kepada penternak.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata harga siling terbabit wajar selepas kerajaan memberikan subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi setiap kilogram (kg) dengan keseluruhan jumlah subsidi ditanggung bermula hari ini hingga 31 Ogos sebanyak RM369 juta.
“Memang memadai kerana kita sudah mengadakan perbincangan dan libat urus dengan penternak dari semasa ke semasa selain mengetahui masalah sebenar dihadapi mereka akibat cuaca dan faktor geopolitik.
“Bermula 1 Julai sehingga 31 Ogos nanti, kita tetapkan harga siling ayam standard sebanyak RM9.40, namun kerajaan memberikan subsidi kepada penternak berjumlah RM1.20 setiap kg dengan jumlah keseluruhan subsidi ditanggung sebanyak RM369 juta,” katanya hari ini.
Beliau berkata, bagi bekalan ayam, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion untuk keseluruhan subsidi kepada penternak sejak Februari lalu hingga Ogos ini.
Pada masa sama, Ahmad berkata, sebelum ini kerajaan juga memperuntukkan subsidi sebanyak RM1.40 bagi setiap kg kepada penternak ayam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM725 juta bagi tempoh April hingga Jun lalu.
Ahmad berkata, apa yang penting beliau berkata, bekalan ayam kini dijamin stabil dan mencukupi di negara ini.
“Kerajaan membuat keputusan yang tepat apabila memansuhkan permit import (AP) untuk mengimport bukan sahaja ayam tetapi bahan makanan lain tetapi tidak termasuk beras.
“Kita memberikan peluang kepada pengusaha lain untuk mengimport bagi memastikan kita mempunyai bekalan mencukupi,” katanya.