1 JULAI: Rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini, tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri Pas Pengembara (Traveller’s Pass) dalam aplikasi MySejahtera bermula Isnin ini,.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kelonggaran itu seiring keadaan sistem kesihatan negara yang berada pada tahap baik dan memuaskan ketika ini.
“Pemansuhan ini akan dibuat secara berperingkat untuk turut memberi kelonggaran kepada kumpulan lain seperti pemegang pas sosial, pas pelajar serta penduduk tetap pada masa depan yang akan diumumkan kelak.
“Sebagai permulaan, pemansuhan ini hanya terpakai kepada warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Khairy berkata, ciri-ciri Pas Pengembara masih dipaparkan di aplikasi MySejahtera dan ia perlu dilengkapkan oleh pengembara bukan warganegara Malaysia sebelum memasuki negara ini.
Katanya, selain pemantauan kes COVID-19 dalam kalangan pengembara luar, ciri-ciri itu perlu dilengkapkan oleh mereka supaya Kementerian Kesihatan (KKM) berupaya membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet.