2 JULAI : Penunjuk perasaan menyerbu bangunan Parlimen Libya di bandar timur Tobruk dan membakar sebahagian bangunan itu.
Imej yang disiarkan dalam talian menunjukkan asap tebal menyelubungi kawasan itu ketika penunjuk perasaan bertindak membakar tayar.
Peserta protes turut menggerakkan perhimpunan di bandar-bandar lain di sekitar Libya bagi membantah tindakan kerajaan memotong bekalan elektrik dan menyebabkan kenaikan harga barang akibat kebuntuan politik.
Di ibu negara, Tripoli, penunjuk perasaan menggesa pihak kerajaan mengadakan pilihan raya, dengan turut disokong Ketua Kerajaan Perpaduan sementara, Abdul Hamid Dbeibah, yang menjelaskan semua institusi negara perlu diubah.
Pergolakan itu berlaku sehari selepas rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
Libya terjerumus dalam kancah huru-hara sejak pemberontakan yang disokong oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 yang menyaksikan penggulingan pemerintahnya, Muammar Gaddafi.
Negara yang kaya dengan sumber minyak itu adalah tempat pendatang asing berkumpul sebelum menuju ke negara Eropah.Sejak beberapa bulan lalu, dua pihak cuba meraih kuasa di Libya termasuk satu yang berpangkalan di Tripoli, diterajui Dbeibah dan satu lagi diketuai bekas Menteri Dalam Negeri, Fathi Bashagha, yang dilantik oleh parlimen serta disokong pemimpin di wilayah timur, Khalifa Haftar.
Pemilihan presiden dan Parlimen sebelum ini dijadualkan berlangsung pada Disember tahun lalu, menyusuli proses damai diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas keganasan besar pada 2020.
Namun, pemilihan tidak dapat diadakan kerana wujud perbezaan pendapat dalam kalangan beberapa calon dan pertikaian berhubung keabsahan pengundian itu sendiri antara pihak yang bertelagah.
PBB kelmarin memaklumkan rundingan antara pihak bertelagah di Libya gagal mencapai sebarang penyelesaian. – AGENSI