2 JULAI : Kerajaan bersetuju agar bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia diperluaskan kepada koperasi yang terlibat dalam sektor ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan berharap langkah ini akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan, seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang memberi impak besar kepada Keluarga Malaysia.
Beliau yakin bahawa koperasi adalah pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mengumumkan tiga perkara yang akan dilaksanakan kerajaan bagi merealisasikan perkara tersebut.
“Pertama, Kerajaan akan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan akan diletakkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.
“Kedua, Kerajaan bersetuju agar koperasi-koperasi diberi kuota pekerja asing supaya urusan perladangan dapat berjalan dengan lancar.
“Ketiga, Kerajaan menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 [Akta502] dan dikawal selia oleh SKM.
“Keempat, peruntukan khusus sejumlah RM10 juta kepada KUSKOP bagi membiayai penganjuran aktiviti-aktiviti kolaborasi strategik bersama persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti penganjuran pameran dan ekspo,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di MATIC hari ini.
Dalam usaha kerajaan membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025, Ismail Sabri berkata isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar pada waktu ini
Menurut beliau, bagi menghadapi cabaran ini, Kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya daripada SKM dan ANGKASA dengan memberi fokus memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian bekalan.
“Model perniagaan koperasi itu sendiri dilahirkan bagi memendekkan rantaian bekalan, dengan mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah, sekali gus berupaya menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran.
“Justeru, sudah tiba masanya seluruh gerakan koperasi menyahut seruan ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’, dengan memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.
“Saya yakin, gerakan koperasi boleh menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan penglibatan yang lebih ramai Keluarga Malaysia,” ujarnya.