2 JULAI : Sekurang-kurangnya tiga orang maut, manakala 19 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi di selatan Iran, awal Sabtu, menurut laporan agensi berita negara, IRNA.
Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda 100 kilometer barat daya bandar pelabuhan Bandar Abbas di wilayah Hormozgan, kata Pusat Kajian Geologi AS (USGS).
Mangsa yang maut dilaporkan di perkampungan Sayeh Khosh, berhampiran pusat gempa, menurut laporan IRNA.
Gempa dilaporkan berlaku hanya seminit selepas gegaran berukuran 5.7.
Seorang terbunuh pada November tahun lalu apabila wilayah Hormozgan dilanda gempa berkembar 6.4 dan 6.3 magnitud.
Terletak di pinggir beberapa plat tektonik dan melintasi pelbagai garisan sesar, Iran ialah kawasan aktiviti seismik yang kuat.
Gempa paling dahsyat di Iran berukuran 7.4 magnitud yang melanda pada 1990, mengorbankan 40,000 orang di utara negara itu. – AFP