2 JULAI : Chaba, taufan ketiga tahun ini, membadai kawasan pantai Bandaraya Maoming di wilayah Guangdong, selatan China kira-kira 3 petang Sabtu.
Menurut jabatan meteorologi wilayah itu, Chaba diramal bergerak ke barat laut pada kelajuan 15 hingga 20 kilometer (km) sejam, sebelum ke Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang pada malam Sabtu.
Hujan lebat dan ribut hujan dijangka melanda bahagian barat Delta Sungai Mutiara pada hujung minggu, manakala laut di Guangdong akan mengalami angin kencang mencecah 160 km sejam, lapor Xinhua.
Kerajaan wilayah itu meningkatkan tahap respon kecemasan kepada Tahap II, kedua tertinggi, mulai 8.30 pagi Sabtu.
Sementara itu, di HAIKOU, wilayah pulau Hainan turut meningkatkan tahap respon kepada Tahap II.
Seramai 47 penduduk dipindahkan dan perkhidmatan kereta api turut digantung manakala 400 penerbangan di lapangan terbang di Haikou dan Sanya dibatalkan.
Semua aktiviti udara dan maritim turut digantung buat sementara waktu.- BERNAMA