3 JULAI: Pihak berkuasa penyelamat Hong Kong meneruskan pencarian 27 kru kapal kejuruteraan terbelah dua dan karam di Laut China Selatan semalam.
Stesen penyiaran CNN melaporkan, Perkhidmatan Penerbangan Kerajaan Hong Kong (GFS) memaklumkan bahawa kapal itu karam kira-kira 300 kilometer di barat daya pulau itu dan terperangkap berhampiran pusat Taufan Chaba.
Dalam hantaran di Instagram, GFS berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.25 pagi (waktu tempatan) semalam.
Kru kapal berkenaan dilaporkan bertindak meninggalkan kapal selepas ia mengalami kerosakan besar di Laut China Selatan.
Video daripada operasi menyelamat memaparkan seorang kru ditarik dari kapal yang sedang karam ke dalam helikopter menggunakan tali.
Tiga anak kapal berjaya diselamatkan setakat ini, manakala nasib 27 lagi masih belum diketahui, kata GFS. Keadaan cuaca buruk dikatakan menghalang operasi mencari dan menyelamat.
“Empat helikopter dan dua kumpulan pesawat telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” tambah GFS.
Taufan Chaba menyebabkan gangguan di seluruh wilayah itu dengan sebilangan penerbangan dibatalkan manakala beberapa premis perniagaan ditutup akibat angin kencang dan hujan lebat. – Agensi