3 JULAI: Kerajaan mengarahkan Lembaga Tabung Haji supaya menyiasat tindakan bakal jemaah haji di negara ini yang didakwa merahsiakan status kesihatan masing-masing bagi membolehkan mereka mengerjakan ibadah itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara tersebut sudah ada dalam pengetahuan pihak berwajib dan satu siasatan diarah untuk dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil.
“Saya sudah pun mengarahkan pihak Tabung Haji supaya menyiasat perkara ini bagi mengesahkan kebenarannya.
“Siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebab kita tahu apabila jemaah berada di sana dalam suasana tempat yang baharu dan juga cuaca agak panas kemungkinan menyebabkan kesihatan mereka banyak terjejas,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan kepada Mangsa Bencana Ribut dan Kebakaran di Kampung Siti Manis hari ini.
Sementara itu, beliau mengingatkan kepada semua bakal jemaah supaya membawa bekalan ubat bagi kegunaan ketika mengerjakan ibadat haji.
“Saya menasihatkan kepada jemaah haji yang akan berangkat, sudah pergi dan ada lagi yang rombongan-rombongan akhir selepas daripada ini supaya menjaga kesihatan dan membawa bekalan ubat sepatutnya untuk mereka.
“Jemaah perlu memastikan keadaan mereka di sana dalam keadaan yang sihat dan boleh mengerjakan ibadah dengan sempurna,” katanya.