Kerja 4 hari seminggu tidak sesuai dilaksana
7 JULAI: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan waktu bekerja empat hari seminggu tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia ketika ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata CUEPACS berkata, kerajaan sepatutnya perlu lebih fokus kepada isu pekerjaan yang lebih penting dan sudah diumumkan.
“Sumber dan masa yang perlu digunakan oleh kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan empat hari bekerja seminggu itu sepatutnya digunakan untuk ‘merawat’ situasi semasa yang membelenggu penjawat awam yang terkesan dengan isu gaji rendah serta hal kebajikan lain.
“Tumpuan seharusnya diberikan kepada perkara yang memberi manfaat kepada warga pekerja berbanding mengkaji perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan menubuhkan pasukan mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini.
Sementara itu, Adnan berkata, mengambil contoh dalam perkhidmatan awam, banyak perkara yang sudah diumumkan kerajaan untuk penjawat awam tetapi pelaksanaannya masih tidak dibuat.
Katanya, antara perkara itu ialah pelaksanaan gaji minimum melalui sistem saraan baharu, penebusan awal gantian cuti rehat dan kenaikan pangkat secara ‘time based’ yang dipendekkan sebelum ini.
“Dengan kos sara hidup semakin meningkat, sudah tentu perkara berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan kebajikan warga penjawat awam perlu diberikan keutamaan,” katanya.