4 JULAI: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan Penolong Setiausaha dan Bendahari ARMADA BERSATU mengeluarkan wang tunai RM1 juta daripada akaun parti itu.
Kenyataan secara bertulis itu dibuat Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 32, yang juga bekas pegawai khas Syed Saddiq, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Beliau dan Rafiq Hakim Razali diarah berbuat demikian pada awal Mac 2020 dalam perjumpaan di rumah Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya.
Katanya, ketika itu, Syed Saddiq ada berbincang mengenai pertukaran kerajaan dan kedudukan ARMADA dalam kerajaan kerana beliau berada dalam blok pembangkang bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Syed Saddiq mengarahkan Rafiq Hakim dan saya mengeluarkan wang daripada akaun ARMADA BERSATU secara tunai.
“Syed Saddiq mengatakan wang berkenaan perlu dikeluarkan daripada akaun kerana beliau bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan ARMADA dan untuk kegunaan mengukuhkan kedudukannya sebagai Ketua ARMADA BERSATU sekiranya berlaku pergolakan dalaman menerusi program membabitkan ARMADA,” katanya.
Saksi ke-11 pendakwaan itu berkata, Syed Saddiq memberitahu duit dalam akaun ARMADA Pusat (CIMB) adalah hasil titik peluh beliau mencari sumbangan dan berhak menggunakan duit berkenaan sepenuhnya.
Katanya, Syed Saddiq memanggil beliau dan Rafiq Hakim kerana mereka adalah antara pemegang amanah dan penandatangan cek CIMB Bank ARMADA Pusat.
“Perjumpaan ini adalah sebelum 6 Mac 2020 iaitu tarikh pengeluaran wang tunai berjumlah RM1 juta daripada akaun rasmi ARMADA.
“Pengeluaran wang RM1 juta ini adalah daripada akaun CIMB Bank bernombor 80-0848352-5 atas nama Parti PRIBUMI BERSATU Malaysia (ARMADA PUSAT),” katanya.