4 JULAI: Sime Darby Bhd melupuskan perniagaan Pelabuhan Weifang pada harga 1.92 bilion renminbi (RM1.27 bilion) sebagai pelan penyusunan semula aset bukan teras kumpulan itu.
Ia dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Sime Darby Overseas (HK) Limited (SDOHK), yang memeterai perjanjian jualan saham dengan SPG Bohaiwan Port Group Company Limited untuk melupuskan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang.
Di samping hasil pelupusan berkenaan, SDOHK akan menerima jumlah indikatif sebanyak 541 juta renminbi (RM357 juta) sebagai bayaran balik bagi pinjaman pemegang saham.
SPG Bohaiwan Port Group adalah sebahagian daripada Shandong Port Group Co yang ditubuhkan oleh kerajaan wilayah Shandong untuk menyatukan aset pelabuhan di wilayah berkenaan.
Hasil jualan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang oleh Sime Darby akan digunakan sebagai dana pelaburan dalam perniagaan teras kumpulan dalam sektor perindustrian dan automotif pada masa depan, untuk perbelanjaan modal dan/atau pembayaran balik pinjaman jangka pendek.
Perjanjian jual beli saham dijangka selesai menjelang suku keempat 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata sebahagian besar daripada pelan penyusunan semula aset bukan teras kumpulan telah dicapai dengan penjualan syarikat-syarikat Pelabuhan Weifang, iaitu perniagaan terakhir yang dimilikinya dalam bahagian logistik.
Beliau berkata, tempoh beberapa tahun lalu amat mencabar bagi sektor pelabuhan dan pihaknya terhutang budi kepada kerajaan wilayah Shandong kerana menyempurnakan penjualan itu, lantas membolehkan kumpulan menyalurkan dana yang diraih untuk mengembangkan perniagaan teras.
Katanya, China kekal sebagai salah satu pasaran penting yang menyumbang hampir 40 peratus daripada hasil kumpulan dan perniagaan perindustrian dan automotif di negara itu meliputi 120 lokasi dan 14 wilayah.
“Kami berharap untuk menyalurkan hasil yang diterima daripada pelupusan ini untuk meluaskan dan mengukuhkan kedudukan dalam sektor perindustrian dan automotif di China, selain terus menerokai peluang dalam pasaran lain,” katanya dalam satu kenyataan.