5 JULAI : Seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di daerah ini dipindahkan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata setakat ini sebanyak 85 rumah dilaporkan terjejas berikutan bencana yang berlaku kira-kira jam 4 petang semalam itu.
“Selain itu, seramai 1,008 pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah yang turut terkesan dalam bencana itu berada di sekolah terbabit ketika kejadian dan berada dalam keadaan baik.
“Keadaan air di sekolah itu juga sudah surut, cuma keadaan kawasan sekitar sekolah yang masih berlumpur,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini, awal pagi ini.
Beliau berkata, operasi pemindahan penduduk yang terjejas berjalan lancar menerusi pembabitan pelbagai agensi, selain penduduk kampung yang turut membantu.
Selain itu, katanya, semua keperluan termasuk makanan, selimut dan bantal turut disediakan oleh agensi berkaitan dan pihak lain yang menghulurkan bantuan di pusat-pusat pemindahan.
“Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang akan dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan diadakan pagi ini bagi menentukan tindakan lanjut dalam membantu mangsa yang terjejas selain usaha menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.
“Kita akan kemas kini mengenai kedudukan mangsa sebab ramai mangsa yang minta dengan kita untuk mereka pulang ke rumah kerana air sudah surut dan mahu membersihkan rumah serta melihat harta benda mereka.
“Tetapi, kita akan lihat dulu dari segi keselamatan sebelum saya beri keputusan untuk benarkan mereka pulang. Sebab mengikut ramalan cuaca hari ini juga akan hujan, jadi kita akan bincang dalam mesyuarat MKN negeri dan akan putuskan selepas itu,” katanya. – BERNAMA