5 JULAI: Kira-kira 50,000 penduduk terpaksa berpindah susulan hujan lebat melanda pantai timur Australia hari ini, menyebabkan air sungai naik dengan cepat dan melepasi paras bahaya.
Sistem tekanan rendah yang kuat di luar pantai timur Australia membawa hujan lebat, dengan beberapa tempat menerima jumlah hujan menyamai tempoh kira-kira sebulan, sejak Sabtu lalu.
Ribut melampau yang terbaharu kemungkinan berkurangan di Sydney, hari ini, kata Menteri Pengurusan Kecemasan negeri, Steph Cooke kepada stesen televisyen tempatan, namun risiko banjir boleh kekal sepanjang minggu kerana kebanyakan kawasan tadahan sungai sudah menghampiri kapasiti penuh walaupun sebelum ribut terbaharu berlaku.
“Kita masih belum keluar daripada bahaya lagi,” katanya.
Semalam, kerajaan persekutuan mengisytiharkan banjir sebagai bencana alam dan membantu penduduk yang terkesan dengan sokongan pembiayaan kecemasan.
Pegawai berkata, krew kecemasan akan meneruskan operasi menyelamat, hari ini, bagi menunda kapal pengangkut pukal yang rosak di luar pantai Sydney selepas tali tunda terputus dalam cuaca buruk.
Banjir besar sedang berlaku di Windsor di barat Sydney, banjir ketiga di daerah itu tahun ini, dengan paras air semasa lebih tinggi berbanding yang dilihat pada banjir awal tahun ini, kata biro cuaca.
Rakaman di media sosial menunjukkan jalan dan jambatan yang ditenggelami air, manakala krew kecemasan menyelamatkan mangsa yang terkandas daripada kenderaan, yang sebahagiannya tenggelam dan terperangkap dalam air yang semakin naik. – REUTERS