5 JULAI : Itali mengisytiharkan darurat di lima wilayah utara dan mengumumkan dana kecemasan semalam berikutan kemarau yang semakin teruk melanda Lembah Po dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kabinet meluluskan keadaan darurat di lima wilayah – Friuli-Romagna, Friuli-Venezia Giulia, Lombardy, Piedmont dan Veneto – sehingga 31 Disember, kata kerajaan dalam satu kenyataan yang turut mengumumkan dana 36.5 juta euro (RM174.28 juta) dana untuk membantu mereka yang terjejas.
Itali menghadapi gelombang panas luar biasa yang lebih awal dan kekurangan hujan, terutamanya di utara kawasan pertanian Lembah Po, yang telah dilanda kemarau terburuk dalam 70 tahun.
Keadaan kecemasan menyediakan ‘cara dan kuasa yang luar biasa’ untuk membantu menjamin keselamatan awam, pampasan bagi kerugian sambil berusaha untuk menjamin keadaan hidup normal bagi mereka yang berada di kawasan itu.
Menurut kesatuan pertanian terbesar negara, Coldiretti, kemarau mengancam lebih 30 peratus pengeluaran pertanian negara, dan separuh daripada ladang di Lembah Po.
Tasik Maggiore dan Garda juga dilanda paras air yang lebih rendah daripada biasa pada tahun ini, manakala lebih jauh ke selatan Sungai Tiber, yang mengalir melalui Rom, paras air juga menurun.
Po mewakili takungan air terbesar di semenanjung, yang kebanyakannya digunakan oleh petani.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, beberapa majlis perbandaran telah mengumumkan catuan.
Verona, sebuah bandar dengan satu perempat juta penduduk, telah mencatu penggunaan air minuman, manakala Milan telah mengumumkan penutupan air pancut hiasannya.
Satu lagi akibat daripada kemarau ialah pengeluaran tenaga hidroelektrik telah jatuh dengan mendadak.
Loji hidroelektrik, kebanyakannya di utara pergunungan negara, menyumbang hampir 20 peratus daripada pengeluaran tenaga negara.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas sekurang-kurangnya tujuh orang maut selepas glasier runtuh di Pergunungan Alps Itali yang menurut Perdana Menteri Mario Draghi ‘tanpa syak lagi’ dikaitkan dengan pemanasan global. – AFP