6 JULAI : Seramai 1,424 mangsa banjir daripada 93 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sekitar Kupang dekat sini setakat jam 8 malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Kapten (PA) Rasidah Kassim dalam satu kenyataan memaklumkan mereka ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Surau An-Nur di Taman Mesra Kupang dan SMK Agama Yayasan Khairiah.
Beberapa kampung sekitar Kupang dilanda banjir kilat selepas hujan berterusan selama tiga jam sejak 2 petang pada Isnin, menyebabkan air melimpah dari Sungai Kupang dan memasuki rumah penduduk.
Dalam pada itu, tujuh rumah musnah akibat dihanyutkan arus deras manakala kira-kira 70 lagi rosak susulan bencana berkenaan.- BERNAMA