6 JULAI: Seorang lelaki maut terkena tembakan senapang rakannya ketika berjalan kaki menuju kebun durian di kawasan hutan berhampiran Sungai Gabai di Batu 18, di Hulu Langat, hari ini.
Mangsa dikatakan bersama tiga rakannya masuk ke lokasi itu untuk ke kawasan kebun durian yang berada di atas lereng bukit yang terletak kira-kira dua kilometer perjalanan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima maklumat seorang lelaki berusia 32 tahun terkena tembakan di lokasi itu pada jam 7.15 pagi tadi.
Susulan itu, katanya, pihaknya menahan tiga rakan mangsa berusia antara 36 hingga 43 tahun bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, siasatan mendapati ketika dalam perjalanan salah seorang rakan mangsa yang membawa senapang patah tergelincir di lereng bukit.
“Senapang berkenaan yang dipegang kemudian terpelanting dari tangan lalu berlaku tembakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid berkata, mangsa yang berada di bahagian belakang pada jarak kira-kira tiga meter terkena tembakan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan dilakukan bersama Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pada badan mangsa terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur dipercayai daripada senjata api yang dibawa rakannya itu.
“Semakan dilakukan mendapati senjata api terbabit dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang daripada rakan mangsa,” katanya.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 bagi membantu siasatan,” katanya.