8 JULAI : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Shinzo Abe, atas pemergian bekas Perdana Menteri Jepun itu hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
Seri Paduka Baginda menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya.
“Mengimbas kembali pertemuan Seri Paduka Baginda dengan Shinzo Abe, Baginda telah berkenan menerima menghadap beliau, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara pada 11 Mac 2022 lalu.
“Shinzo Abe pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun,” menurut kenyataan itu.
Istana Negara berkata, sewaktu pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda dengan beliau, selepas yang pertama ketika Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.