8 JULAI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menubuhkan Federasi Koperasi Ternakan Ayam bagi menguruskan pusat pengumpulan dan jualan ayam kepada pengguna.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata federasi dianggotai oleh koperasi dan pengusaha yang terbabit dengan ternakan ayam serta pemborong akan bekerjasama bagi pengoperasian pusat pengumpulan dan pengedaran ayam di setiap negeri.
Katanya, federasi ini ditubuhkan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ketika ini disertai 15 koperasi yang bertanggungjawab menguruskan pusat pengumpulan dan jualan ayam kepada pengguna.
“Kita sudah melakukan perbincangan dengan beberapa koperasi dan usahawan terbabit dalam ternakan ayam.
“Federasi ini bertujuan menangani peranan ‘orang tengah’ di mana akan membeli terus dari pusat pengumpulan yang diuruskan koperasi terus kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor di Kuala Selangor, hari ini.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, KUSKOP juga memperkenalkan perniagaan secara dalam talian, selain mengimport ayam sejuk beku dari luar negara.