8 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas pemergian bekas Perdana Menteri negara itu, Shinzo Abe yang mati ditembak hari ini.
Menurut Perdana Menteri dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, beliau berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka tentang insiden mengenai mantan Perdana Menteri itu yang baru saja ditemuinya pada awal tahun ini ketika lawatannya ke Malaysia sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama.
“Saya menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada Kerajaan dan rakyat Jepun di atas pemergian beliau.
“Shinzo Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur,” ujarnya dalam kenyataan itu.
Ismail Sabri berharap agar keluarga mendiang dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.