9 JULAI: Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang wanita yang menghina agama Islam di sebuah kelab di Kuala Lumpur.
Beliau menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang.
“Saya mengambil maklum mengenai sebuah video yang tular dipercayai perbuatan menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Dalam video berkenaan seorang wanita mengaku sebagai seorang Muslim berasal dari Daerah Kuala Kangsar yang menghafal 15 Juzuk ayat suci Al-Quran, telah membuat perlakuan yang menghina Islam dan mencabar sensitiviti keharmonian masyarakat berbilang amalan, agama dan kepercayaan negara ini.
“Saya mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seumpama ini. Saya menyeru pihak berwajib supaya mengambil tindakan tegas menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun menjunjung hak dan kebebasan bersuara, namun kita tidak akan berkompromi dengan apa-apa jua bentuk perlakuan yang menghina kesucian agama Islam dan menyentuh sensitiviti masyarakat seluruhnya.