9 JULAI: Umat Islam perlu menjadikan semangat toleransi berasaskan konsep Tasamuh sebagai satu elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, semangat toleransi dan sikap berlapang dada membolehkan rakyat untuk terus maju membangun dan mencegah diri daripada perbalahan yang hanya akan merugikan ummah.
“Ia tidak membezakan status dan darjat sesama insan, malah menggambarkan sebuah keluarga besar yang rukun, aman damai dan bersatu padu.
“Kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam.
“Ia adalah simbol ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Maha Pencipta,” kata Perdana Menteri dalam Perutusan Khas sempena Aidiladha 1443 Hijrah, malam ini.
Ismail Sabri berkata, Aidiladha mengajar ummah mensyukuri nikmat dikurniakan Allah SWT dan berkorban untuk membantu yang memerlukan serta menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan supaya yang miskin tidak terpinggir.
Ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya cetuskan pada Ogos tahun lalu iaitu bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan.
“Hari ini, seluruh dunia berhadapan cabaran ekonomi yang antara lain berpunca daripada konflik geopolitik dan perubahan iklim global.
“Ia menjejaskan kehidupan seharian kita semua. Namun begitu, kerajaan sentiasa mendengar dan memahami denyut nadi seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Dalam perutusan sama, Ismail Sabri turut mengajak seluruh rakyat berganding bahu dan jihad bersama bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan.
Katanya, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani impak inflasi global termasuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang menyatukan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan dengan segera kesulitan yang dihadapi rakyat.
“Namun kerajaan tidak dapat melakukannya sendirian. Justeru, seluruh Keluarga Malaysia perlu bersama-sama berganding bahu menanganinya. Ini adalah jihad kita bersama memastikan ekonomi negara pulih,” katanya.
Ismail Sabri juga menggesa perbezaan fahaman politik antara rakyat diketepikan, pada masa sama keinsafan dan kesyukuran seharusnya dibuktikan dengan bersama-sama dalam meningkatkan martabat agama Islam serta memupuk hubungan baik dengan rakan daripada keturunan dan agama lain.
“Marilah kita berdoa semoga dengan semangat pengorbanan yang diamalkan oleh Keluarga Malaysia, kita mampu menjadikan tanah air ini kalis cabaran, kukuh dan terus maju mendepani apa jua situasi dan cabaran mendatang,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Aidiladha memberi erti besar kepada rakyat khususnya yang beragama Islam, apatah lagi perayaan itu kini dapat diraikan sepenuhnya selepas dua tahun negara berdepan pandemik COVID-19.