9 JULAI: Aliran trafik keluar dari Lembah Klang melalui beberapa lebuh raya utama ke Pantai Timur dan Utara masih sesak berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha.
Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Pantai Timur, kesesakan lebih 22 kilometer (km) dilaporkan berlaku dari Plaza Tol Gombak hingga ke Kilometer (KM) 42.2 laluan Gombak ke Bukit Tinggi.
Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata setakat jam 9.27 pagi tadi kesesakan 2.1 km turut dilaporkan berlaku di KM42.6 hingga KM44.7 laluan Bukit Tinggi ke Lentang.
“Kesesakan kenderaan bercantum sebelum masuk ke plaza tol sehingga keluar plaza tol (Plaza Tol Gombak) dengan kesesakan lebih 600 meter dilaporkan berlaku di laluan arah masuk ke plaza tol.
“Selain itu, kesesakan kira-kira 1.5 km turut dikesan di KM49.1 hingga KM5.06 laluan Lentang ke Bentong dan di KM61.6 hingga KM62.9 di Bentong,” dipetik daripada Berita Harian, hari ini.
Radzimah berkata, kesesakan turut dilaporkan berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) dengan kesesakan kenderaan sepanjang lebih 600 meter sebelum masuk ke Plaza Tol Karak.
“Aliran trafik ke Pantai Timur mulai meningkat sejak petang semalam dan berlarutan hingga ke malam tadi seterusnya sehingga awal pagi ini.
“Selain itu, kesesakan sepanjang 2.6 km turut dilaporkan berlaku di KM117.5 hingga ke KM120.3 dari Lanchang ke Temerloh.
“Untuk tempoh 24 jam bermula jam 6 pagi semalam hingga jam 6 pagi ini, sebanyak 131,522 kenderaan direkodkan masuk ke KLK arah Pantai Timur dan dalam tempoh tiga jam dari jam 6 pagi tadi hingga jam 9 pagi ini, sudah mencecah 15,733 kenderaan,” katanya.
Sementara itu, di Lebuhraya Utara Selatan, pengguna lebuh raya juga perlu menjangkakan kelewatan perjalanan berikutan aliran trafik tinggi dengan kesesakan dilaporkan berlaku di beberapa lokasi rangkaian lebuh raya itu.
Menerusi ciapan di Twitter @plustrafik, kesesakan sepanjang lebih tujuh km dilaporkan berlaku di laluan arah utara dari Ipoh Utara ke Kuala Kangsar akibat sebuah bas rosak menyebabkan lorong kiri terhalang.
Setakat jam 9 pagi tadi, aliran trafik juga dilaporkan perlahan dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar.
Bagi laluan arah ke selatan pula, @plustrafik melaporkan beberapa lokasi turut mengalami aliran trafik perlahan termasuk dari Putra Mahkota ke Nilai, Putra Mahkota ke Bandar Ainsdale dan dari Bandar Serenia ke Bandar Ainsdale.