9 JULAI: Perintah berkurung tanpa had tempoh diisytiharkan di seluruh ibu negara Sri Lanka sejak semalam bagi mengekang perhimpunan antikerajaan yang dirancang hujung minggu ini.
Susulan itu, tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengekang perhimpunan itu yang menuntut penyingkiran Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Ketua polis, Chandana Wickramaratne, berkata Colombo dan pinggir bandarnya akan diletakkan di bawah perintah berkurung sehingga diberitahu kelak dan menggesa penduduk untuk kekal di dalam rumah.
Arahan itu dikeluarkan ketika beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berpusu-pusu ke ibu negara semalam menjelang perhimpunan hari ini untuk mendesak Rajapaksa meletak jawatan berikutan krisis ekonomi negara yang semakin meruncing.
Bagaimanapun, sejak awal pagi tadi, ribuan penunjuk perasaan sudah mula ‘mengepung’ kediaman Rajapaksa menuntut beliau segera meletak jawatan.
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan mereka, namun menerima tentangan daripada penunjuk perasaan yang semakin bertambah.
Negara kepulauan itu mengalami kekurangan barangan keperluan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan 22 juta penduduknya menderita inflasi berterusan dan ketiadaan bekalan elektrik berpanjangan sejak awal tahun ini.
Penunjuk perasaan sudah berbulan-bulan berkhemah di luar pejabat Rajapaksa untuk menuntut peletakan jawatannya kerana salah urus ekonomi.
Sri Lanka, yang diisytiharkan negara muflis, gagal membayar balik hutang luar berjumlah AS$51 bilion (RM226 bilion) dan kini mengadakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi mendapatkan bantuan. – AFP