12 JULAI : Puluhan bandar di China berada dalam cuaca panas melampau sehingga menyebabkan bumbung bangunan mencair dan jalan raya menggelembung, memaksa penduduknya berteduh di tempat perlindungan bawah tanah.
Setakat jam 11 pagi tadi, 68 bandar termasuk Shanghai dan berhampiran Nanjing, mengeluarkan amaran merah – tertinggi dalam sistem amaran gelombang haba tiga peringkat – meramalkan suhu melebihi 40 darjah Celsius bagi tempoh 24 jam akan datang.
Shanghai yang masih memerangi penularan sporadik COVID-19, memberi amaran kepada 25 juta penduduknya supaya bersedia menghadapi cuaca panas minggu ini.
Sejak penyimpanan rekod bermula pada 1873, Shanghai hanya mempunyai 15 hari dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Gambar dikongsi secara meluas di media sosial menunjukkan seorang petugas saringan COVID yang memakai sut hazmat memeluk bongkah ais setinggi satu meter di tepi jalan.
Di taman hidupan liar Shanghai, kakitangannya terpaksa menggunakan lapan tan ais sehari hanya untuk memastikan haiwannya kekal sejuk.
Menurut seorang penduduk, Zhu Daren, tahun ini bahang tiba lebih awal daripada sebelumnya.
“Walaupun baru Julai, saya rasa cuaca panas sudah sampai ke tahap tinggi.
“Pada dasarnya, anda perlu menghidupkan pendingin hawa apabila pulang ke rumah dan memakai krim pelindung matahari apabila keluar,” katanya.
Sementara itu, China berdepan musim panas berbeza tahun ini, dengan gelombang panas dan hujan lebat silih berganti sehingga mengakibatkan bencana di seluruh negara.
Pihak berkuasa yang memetik perubahan iklim, memberi amaran mengenai potensi bencana cuaca bermula pertengahan Julai, di mana kebiasaannya adalah musim paling panas dan basah dalam setahun.
Di sebuah bandar di selatan wilayah Jiangxi, sebahagian jalan melengkung sekurang-kurangnya 15 sentimeter akibat panas.
Nanjing, satu daripada tiga ‘relau’ China yang terkenal dengan musim panas melampau, membuka tempat perlindungan bawah tanahnya kepada penduduk sejak Ahad lalu dengan dilengkapi WiFi, buku, mesin air dan juga ketuhar gelombang mikro.
Bandar itu mengeluarkan amaran merah hari ini, manakala di Chongqing selaku ‘relau’ kedua menyaksikan bumbung salah satu muzium mencair dan jubin bumbung tradisional Cinanya meletup apabila haba melarutkan tar di bawahnya.
Bandar itu turut mengeluarkan amaran merah, semalam.
Chongqing juga mengerahkan trak penyembur air bagi untuk memastikan jalan rayanya sejuk.
Minggu ini, suhu tinggi, kelembapan dan sinaran ultra ungu juga diramalkan menyelubungi pusat bandar Wuhan, yang dianggap sebagai ‘relau’ ketiga. – REUTERS