12 JULAI : Kerajaan amat optimis bahawa Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun ini berikutan kepelbagaian ekonomi negara berdasarkan data terkini yang positif daripada agensi antarabangsa terkemuka, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Kita lihat Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi global, (mereka) berada di bawah tekanan dan berdasarkan anggaran penganalisis, kita telah menyaksikan suku kedua (yang) agak teruk.
“Bagi Malaysia, kita telah menyaksikan pertumbuhan suku kedua yang kukuh dan untuk suku ketiga, kami berasakan momentum akan berada pada pertumbuhan untuk negara tetapi kita perlu ingat kesan asas pada suku ketiga tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kemudahan Insurans dan Takaful i-Lindung di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata data menunjukkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022 masih berada di landasan.
“Kita terjejas dengan kelembapan ekonomi AS. Ia menjadi amat cair, justeru, sebagai negara perdagangan, ekonomi terbuka dan juga kecil, kita perlu memantau pertumbuhan di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata walaupun angka pertumbuhan mengikut sektor dilihat tidak sekata, sektor tertentu seperti minyak sawit, minyak dan gas serta pembuatan mencatatkan prestasi yang baik setakat ini.
Selain itu, katanya kerajaan melalui dasar fiskal perlu memainkan peranan untuk memastikan ekonomi berada di landasan yang tepat.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata Malaysia, bersama dengan negara lain, perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan, termasuk kemelesetan global.
Mengenai ruang fiskal, katanya Malaysia masih berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding tahun lepas, berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan harga komoditi yang meningkat.
“Kerajaan menyedari mengenai kebimbangan itu dan telah menyaksikan impak daripada apa yang berlaku di peringkat global kepada Malaysia,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan baru-baru ini telah menaikkan Bantuan Keluarga Malaysia, bantuan tunai langsung yang terbesar, mencecah RM8 bilion setakat ini.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa ruang fiskal perlu diteruskan dan kerajaan sedang mengkaji cara untuk menjimatkan wang bagi memastikan dana dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan sokongan kerajaan.
“Buat masa ini, defisit fiskal akan terus berada dalam julat 6.0 peratus seperti yang disasarkan dan kami akan terus memantaunya,” katanya sambil menambah hutang statutori Malaysia masih di bawah had yang diluluskan sejajar dengan sasaran defisit – BERNAMA