12 JULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah pemimpin UMNO tulen yang tidak akan membelakangkan parti.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lazim berkata, Ismail Sabri telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan membelakangkan parti walaupun di dalam keadaan yang terpaksa demi menjaga kestabilan politik negara dan juga menangani isu ekonomi yang dihadapi rakyat.
“Setakat ini belum ada sesiapa yang tampil untuk mengesahkan kesahihan perjanjian itu.
“Kalau pun memang ada, ia sebenarnya menguntungkan UMNO kerana Perdana Menteri yang dilantik adalah pemimpin UMNO dan bukan daripada parti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dan Ismail Sabri mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Marzuki mendakwa, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Ismail juga menambah, sekiranya wujud perjanjian itu Perdana Menteri sejak hari pertama memegang jawatan telah merujuk kerajaan pimpinannya sebagai Keluarga Malaysia.
Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Fuad Tukirin menyatakan, beliau tidak pasti sama ada perjanjian yang tersebar antara Perdana Menteri dan Muhyiddin benar atau palsu.
“Namun saya merasakan perjanjian ini jika ada pun masih menguntungkan parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO secara keseluruhan,” katanya.
Menurut Fuad, Ismail Sabri hari ini memimpin kerajaan dengan baik malah beliau berupaya membantu rakyat dengan pelbagai inisiatif bantuan tunai dan subsidi barang keperluan.
“Kedudukan Ismail Sabri turut membantu memperkasakan parti UMNO sepertimana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Saya fikir di saat kita sedang memberi khidmat terbaik membantu rakyat berhadapan ancaman inflasi dan kesukaran hidup, perkara-perkara yang boleh melemahkan Perdana Menteri tidak harus berlaku,” tegas Fuad lagi.