12 JULAI : Korea Selatan mempertingkatkan kawalan keselamatan ke atas tokoh berprofil tinggi susulan insiden pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada Jumaat lalu.
Pihak berkuasa negara itu berkata, tindakan itu turut berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dijadual dihadiri Duta Amerika Syarikat (AS) ke Korea Selatan yang baharu hujung minggu ini.
Minggu lalu, sekumpulan kecil penunjuk perasaan berkumpul di luar kedutaan AS apabila Duta negara itu yang baharu dilantik, Philip Goldberg, tiba di Seoul dengan menuduh AS sebagai ‘imperialisme budaya homoseksual’.
Perkhidmatan Keselamatan Presiden Seoul berkata, ia akan mengukuhkan langkah keselamatan untuk Presiden Yoon Suk-yeol dan Agensi Polis Kebangsaan sudah mengarahkan cawangan serantau untuk meningkatkan pemantauan bagi mengawal tokoh penting.
Pegawai di agensi presiden berkata, pihaknya sedang mengkaji sistem keselamatan untuk presiden berikutan kes tembakan ke atas Abe dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengukuhkan kedudukan keselamatannya.
Abe adalah perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat ditembak mati Jumaat lalu, ketika ucapan kempen di bandar Nara, dalam pembunuhan yang menggemparkan negara di mana keganasan politik dan jenayah senjata api amat jarang berlaku.
Polis turut melakukan persiapan untuk Festival Budaya Queer Seoul, Sabtu ini, di mana Duta Besar AS, Goldberg dijangka hadir.
Menurut seorang pegawai polis, pihaknya merancang mengetatkan keselamatan kerana terdapat beberapa faktor risiko membabitkan kumpulan pembangkang yang akan mengadakan perhimpunan pada waktu sama.
Pada 2015, seorang lelaki Korea Selatan mengelar wajah Duta AS, Mark Lippert, menggunakan pisau buah sehingga menyebabkan beliau menerima 80 jahitan pada muka.
Pada 2018 pula, dua penunjuk perasaan memanjat tembok kediaman Duta AS, dalam insiden kedua dalam tempoh setahun.
Pihak polis meningkatkan kawalan keselamatan selepas Jabatan Negara AS membuat aduan secara terbuka. – REUTERS