12 JULAI : Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan beliau telah maklum berhubung laporan waris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dikatakan menuntut RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia.
“AGC (Jabatan Peguam Negara) telah dimaklumkan dan sedang meneliti perkara ini,” katanya kepada Free Malaysia Today hari ini.
Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, menurut Financial Times.
Laporan itu menyebut, langkah merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Akhbar harian itu melaporkan, peguam berkenaan di Luxembourg merampas syarikat induk yang dianggarkan bernilai lebih RM8.87 bilion bagi pihak pelanggan mereka, pada Isnin.- FMT