12 JULAI: Pihak polis di Thailand digesa menguatkuasakan undang-undang terhadap penjual ganja dalam usaha mengekang penyalahgunaan ganja di tempat awam termasuk di sekolah.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang bimbang tentang perkara itu berkata langkah itu sebenarnya hanya untuk kepentingan industri perubatan, namun tumbuhan itu banyak disalah guna bagi tujuan rekreasi.
Menurut laporan Bangkok Post, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, tindakan kerajaan memberi lampu hijau bagi pemprosesan ganja untuk tujuan perubatan dan penanaman di rumah bagi kumpulan yang berdaftar disalah faham, apabila ramai menyangka penggunaan ganja kini boleh dilakukan secara bebas.
Sesetengah pihak didapati menjual ganja dalam rokok gulung secara terbuka di tempat awam, sedangkan pada masa yang sama terdapat larangan bahawa ia tidak boleh dijual beli atau dihisap di tempat awam, kata Anutin.
Pada masa sama, majoriti rakyat Thailand yang mengikuti satu kaji selidik menyatakan kebimbangan mereka mengenai kesan ganja dikeluarkan dari senarai narkotik, lapor Bangkok Post.
Satu kaji selidik dijalankan oleh Universiti Suan Dusit Rajabhat, Bangkok pada 20 hingga 23 Jun ke atas 2,390 orang dari seluruh negara.
Kaji selidik dalam talian itu dibuat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai laporan berita berhubung kesan buruk penggunaan ganja secara rekreasi selepas ia dikeluarkan dari senarai narkotik pada 9 Jun lalu.
Ditanya sama ada mereka bimbang pada laporan itu, 70.63 peratus menjawab ‘ya’ dengan 37.78 peratus ‘agak bimbang’ dan 32.85 peratus ‘sangat bimbang’ selain hanya 16.27 peratus menjawab ‘sedikit bimbang’ manakala 13.10 peratus ‘tidak bimbang langsung’.
Apabila ditanya mengenai kebaikan dan keburukan ganja dikeluarkan dari senarai narkotik, 52.76 peratus berkata akan ada lebih keburukan dari kebaikan; 30,17 peratus berkata kedua-duanya seimbang; dan 17.07 peratus berkata lebih kebaikan berbanding keburukan.
Dalam soalan pilihan jawapan berbilang, mengenai kebaikannya, 74.96 peratus berkata ganja boleh digunakan untuk tujuan perubatan; 46.46 peratus menjawab tumbuhan itu memberi nilai ekonomi tambahan; manakala 45.38 peratus berkata ia boleh mengurangkan kos sesetengah rawatan. – AGENSI