12 JULAI: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, pembabitan beliau dalam draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti.
“Saya adalah bekas Menteri Undang-Undang, jadi semua yang berkaitan dokumen undang-undang saya akan diminta membuat berkenaannya, bukan kerana saya (semata-mata) adalah Takiyuddin.
“Ia (isu TPM) bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil sebagai Memorandum Perjanjian (MoA),” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Padang Dewan Serba guna Sungai Kerang, Trong, di Bukit Gantang, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada Isnin yang meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepadanya mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, walaupun ‘perjanjian’ yang dimaksudkan antara Muhyiddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu secara terperinci ada menyebut mengenai jawatan TPM, namun ia tidak mensyaratkan pelantikannya adalah dimestikan memandangkan klausa mengenai TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sebaliknya, kewujudan jawatan TPM menerusi Perdana Menteri sebelum dari kerajaan ditadbir Ismail Sabri adalah melalui perkara dinamakan sebagai konvensyen iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan.
“Justeru, pelantikan TPM berada pada kehendak Yang Dipertuan Agong (YDPA).
“Jadi bila tiada dalam perlembagaan, maka terpulang kepada YDPA sama ada hendak lantik TPM atau terpulang (sebaliknya). Jadi, tidak boleh kata wajib melantik TPM walaupun Perdana Menteri berhak atas hak prerogatifnya ingin melantik TPM jika beliau berasa memerlukannya,” katanya.
Ditanya mengenai kewujudan MoA itu berada dalam pengetahuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagaimanapun mengakui beliau sendiri tidak pasti sama ada Abdul Hadi tahu mengenainya atau sebaliknya.
“Tidak semua orang tahu mengenai ‘perjanjian’ (MoA) itu. Jadi kena tanya Tok Guru (Abdul Hadi) sendirilah dia tahu atau tidak sebab dia bukan orang yang tandatangan MoA berkenaan,” katanya.