12 JULAI: Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan kehairanan tentang kasut kulit mewah yang dipakai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi isu media kelmarin.
Tunku Ismail menerusi Twitternya malam tadi turut menyindir laporan berkenaan dengan mencadangkan Onn Hafiz memakai selipar selepas ini.
Justeru, baginda menasihati Onn Hafiz mengabaikan isu yang ditimbulkan, sebaliknya fokus terhadap tugas mentadbir negeri ini.
“Benda macam ini pun jadi isu? Dato’ (Datuk) saya cadangkan lepas ni Dato’ pakai selipar sahaja. Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Dato’ dan beberapa pegawai kerajaan.
“Dato’, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja,” titah baginda.
Semalam, Onn Hafiz dilaporkan menafikan membeli sepasang kasut yang dikatakan berharga sekitar RM40,000.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau dilaporkan berkata, kasut itu adalah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.