13 JULAI: Polis akan memanggil beberapa individu berhubung kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat di Pejabat PKR Cabang Sungai Buloh di Kota Damansara, Petaling Jaya malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh ahli yang berada dalam mesyuarat berkenaan.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 1.40 pagi tadi. Bagaiamanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya hari ini.
Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila seorang lelaki dipercayai pemandu kepada seorang ahli politik menceroboh masuk ke bilik mesyuarat tanpa kebenaran dan kemudian cuba memaksa beberapa ahli jawatan kuasa cabang mengikutnya untuk perbincangan di tingkat bawah.
Sebelum kejadian, sekumpulan pemimpin cabang yang dipilih dikatakan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap ketua cabang yang didakwa mahu mereka menyokong senarai 11 nama dipilihnya untuk dilantik sebagai ahli jawatankuasa.