13 JULAI: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti sudah dimuktamadkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) dan akan dibentangkan di Parlimen dalam mesyuarat Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga antara Ahli Parlimen yang menganggotai JPK itu mengesahkan perkara itu dalam hantaran Twitternya semalam.
“Selangkah lagi untuk menghapuskan ‘koloni katak’ dan menuju politik bermaruah di Malaysia,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, draf RUU itu akan membabitkan pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu lanjutan daripada pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No3) 2022 yang dibentangkan kerajaan bagi bacaan kali pertama, April lalu.
Katanya, draf pindaan akan dibentangkan kepada Ahli Parlimen pada pagi 18 Julai dan perbahasan dipersetujui jawatankuasa pada 27 dan 28 Julai.