14 JULAI: Penduduk di kawasan pesisir pantai di seluruh negara disarankan agar berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula hari ini hingga Ahad.
Menerusi satu hantaran di Twitter, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) memaklumkan fenomena itu berlaku disebabkan dipengaruhi oleh daya tarikan graviti bulan dan matahari.
Sementara itu, PHN dalam laman Facebooknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau keadaan cuaca semasa dan merujuk kepada agensi berkaitan untuk informasi keselamatan kawasan pesisir pantai.
“Penduduk berhampiran pesisir pantai disaran agar peka dan berwaspada berdepan fenomena ini. Sila pantau keadaan cuaca semasa dan rujuk agensi berkaitan untuk informasi keselamatan kawasan pesisir pantai,” demikian menurut PHN.
Maklumat lanjut mengenai lokasi ramalan pasang surut tersebut boleh dilayari di https://hydro.gov.my/ramalanpasangsurut/. – BERNAMA