14 JULAI: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengarahkan agensi-agensi dan pihak yang berkaitan untuk meneliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat dengan lebih menyeluruh.
Antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi mencari segera penyelesaian yang berkesan.
Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat seperti treler semakin menjadi-jadi sehingga melibatkan kehilangan nyawa.
“Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, saya juga melihat keperluan melaksanakan ujian saringan kepada para pemandu bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol.
“Menerusi kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi AntiDadah Kebangsaaan (AADK), ujian saringan ini mungkin boleh dilakukan secara berkala, dibuat secara mengejut dan dilaksanakan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, empat sekeluarga yang menaiki kereta jenis Proton Persona maut akibat tersepit selepas terbabit nahas membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, seorang wanita maut manakala empat cedera termasuk seorang bayi parah dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, di Pasir Puteh, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, kenderaan yang terbabit adalah dua lori muatan pasir dan besi, 21 basikal, satu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner, tiga kereta dan dua motosikal.
Ka Siong berkata, mana-mana syarikat juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terutama jika hasil siasatan mendapati kenderaan mereka tidak diselenggara dengan baik, tidak mematuhi peraturan dan seumpamanya.
“Kita tidak mahu syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini lepas tangan dan hanya tamak mengaut keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan pekerja iaitu pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain.
“Syarikat-syarikat dan para pemain industri juga perlu memandang serius perkara ini terutamanya dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin.
“Undang-undang yang digubal perlu dipatuhi dan dihormati sepenuhnya, ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan nyawa manusia,” katanya.